Senin, 28 Februari 2011

  
    Natijah dari kehilangan Islam sebagai sebuah Sistem Pemerintahan yang diterapkan keatas umat manusia pada hari ini, semakin ketara terlihat didalam seluruh aspek kehidupan.  Kepincangan sistem sosial yang tidak berlandaskan Islam didalam kehidupan masyarakat dapat dirasai samada kita hidup di negara-negara yang dipimpin oleh penguasa Islam mahupun bukan Islam.  Sudah tentunya, tiada yang lebih menyedihkan apabila kita terpaksa menyaksikan bagaimana hinanya anak-anak remaja kita dibesarkan didalam sistem Sekular Kapitalis yang penuh dengan kekufuran, malahan lebih buruk apabila sebahagian dari mereka seperti telah kehilangan nilai-nilai keperibadian Islam, tidak kurang juga yang terpesong pegangan akidahnya.

Apabila kita mengkaji apakah punca keruntuhan akhlak dan nilai-nilai keperibadian Islam para remaja masa kini, satu fakta ringkas namun mengerikan telah ditemui iaitu – pengaruh rakan sebaya disekeliling mereka. Oleh yang demikian, peranan remaja dalam memilih rakan-rakan mereka adalah amat penting dalam memastikan pemeliharaan syakhsiah dan jati diri keperibadian Islam.  Persahabatan yang dijalin dengan rakan-rakan yang sentiasa menjaga keimanan dan ketaqwaan mereka terhadap Allah SWT adalah prasyarat terbaik dalam memastikan para remaja akan tetap berpegang teguh dengan paksi ajaran Islam dan seterusnya sentiasa diredhai Allah SWT.

Walaupun kebanyakkan daripada kita, sebagai umat Islam akan sentiasa berikhtiar untuk mengekalkan dan memelihara identiti keperibadian Islam didalam keluarga masing-masing, namun kadangkala kita terlepas pandang tentang pergaulan anak remaja diluar rumah malah tatkala mereka menghadap skrin komputer untuk melayari internet.  Islam telah menyediakan satu pakej lengkap bagi setiap penganutnya untuk dijadikan sebagai panduan dalam melayari kehidupan bagi menempa kejayaan didunia dan akhirat.  Para remaja mestilah sentiasa terikat dengan hukum syarak dalam segala aspek kehidupan termasuklah dalam memilih rakan-rakan mereka.

Suasana kehidupan yang beriman
Memastikan suasana kehidupan sentiasa berada didalam suasana yang beriman adalah amat penting bagi seseorang Muslim, dalam rangka mengelakkan diri dari terpesong ke jalan yang salah.  Namun malangnya, suasana kehidupan bagi sebahagian besar para remaja Islam pada hari ini sangatlah mendukacitakan.  Perkara-perkara yang menjadi asas kepada perbincangan para remaja sentiasa berlegar tentang keseronokan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita serta menunjuk lagak diantara satu sama lain untuk berbangga dengan kehebatan mereka di mata dunia.  Situasi sebegini sudah pasti hanya akan menaikkan nafsu manusia sama ada dari segi seksual mahupun kebendaan duniawi yang seterusnya akan menjauhkan mereka dari ajaran Islam yang sebenar.

Diriwayatkan drpd Abu Musa Radhiallahu Anhu katanya:
Daripada Nabi SAW baginda bersabda: “Sesungguhnya perumpamaan berkawan dengan orang yang soleh dan berkawan dengan orang yang jahat adalah seperti seseorang yang membawa minyak wangi dan seseorang yang meniup dapur tukang besi. Orang yang membawa minyak wangi, mungkin beliau akan memberikannya kepadamu atau mungkin kamu akan membeli darinya dan mungkin kamu akan mendapat bau yang harum darinya. Manakala orang yang meniup dapur tukang besi, mungkin beliau akan membakar pakaianmu dan mungkin kamu akan mendapat bau yang tidak elok."  [HR Bukhari & Muslim]

Islam amat menitikberatkan peri pentingnya pengaruh rakan-rakan terhadap seseorang mukmin dalam
menentukan pengukuhan hubungan antara manusia dengan Allah SWT serta menuruti segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.

Rasullullah SAW bersabda “Seseorang itu mengikuti Deen (cara hidup) sahabat karibnya, oleh yang demikian berwaspadalah/ bersikap bijaksana dalam memilih sahabat.” [HR Tarmidzi]

Seorang Muslim mestilah memilih sahabat yang akan menasihati dan mengingatkan beliau untuk terikat dengan syariat Allah didalam kehidupan.  Sebaliknya, seorang muslim tidak sepatutnya memilih rakan dikalangan orang yang akan menyesatkan beliau dengan menuruti langkah-langkah syaitan.  Oleh yang demikian, pemilihan rakan daripada kalangan mereka yang bertakwa dan beriman terhadap Allah SWT adalah satu perkara yang sangat penting bagi seorang remaja Islam. Kasih-sayang yang terwujud di antara dua orang Muslim yang bersahabat itu akan menyebabkan mereka sentiasa saling nasihat-menasihati, tolong-menolong dimasa susah mahupun senang serta berusaha meningkatkan ketaatan dan komitmen mereka terhadap Deen Islam yang tercinta.

Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam untuk menunjukkan kasih-sayang diantara satu sama lain sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari telah bersabda Rasulullah SAW:
  "Jika seseorang mencintai saudaranya kerana Allah, maka khabarkanlah bahawa dia mencintainya."  [HR Bukhari]

Peranan Ibubapa
Ibubapa sebenarnya memainkan peranan yang penting sebahagiannya untuk memastikan anak-anak remaja mereka baik lelaki mahupun perempuan, berada didalam suasana kehidupan yang soleh. Ibubapa bertanggungjawab menentukan pergaulan dan siapakah rakan-rakan yang mengelilingi anak-anak mereka di luar rumah. Setiap ibubapa sepatutnya berusaha untuk mengenali dan mendekati anak-anak remaja mereka dengan melibatkan diri secara langsung didalam kehidupan anak-anak supaya kepercayaan penuh diletakkan oleh anak-anak ini terhadap ibubapa mereka.  Ibubapa juga harus menggalakkan anak-anak mereka untuk terlibat dengan aktiviti-aktiviti luar kurikulum yang sihat supaya anak-anak mereka boleh berjumpa dengan rakan sebaya yang soleh. Rakan-rakan yang seperti ini, sudah pasti akan sentiasa menanamkan benih-benih identiti Islam yang sebenar kedalam jiwa anak-anak remaja kita dan seterusnya dapat mengekalkan jatidiri seorang Muslim dalam bermasyarakat dan menjadi remaja muslim yang sejati.

Ibu-bapa juga mesti sentiasa berusaha untuk menggalakkan anak-anak berpegang teguh kepada syariat Islam serta menjadikan halal dan haram menurut syarak sebagai asas kepada setiap perbuatan didalam kehidupan mereka.  Ramai ibu-bapa yang melakukan kesilapan dengan menganggap dan menghadkan  tanggung-jawab mereka terhadap keluarga hanya sebagai pencari nafkah semata-mata.  Ini menyebabkan ramai anak-anak remaja merasakan seperti tidak dipedulikan oleh ibubapa dan lebih percaya pada ajakan songsang rakan-rakan sebaya mereka, seterusnya menyebabkan mereka ini akan lebih mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir luar.

Sifat-sifat Persahabatan dalam Islam
Islam telah memberikan definasi persahabatan yang amat berlainan daripada cara persahabatan Barat. Islam menyatakan bahawa persahabatan bukanlah atas dasar untuk mendapat keuntungan materi mahupun manfaat daripada satu sama lain tetapi persahabatan adalah atas dasar untuk menggapai kejayaan di akhirat dengan meraih keredhaan Allah di dunia ini. Konsep persahabatan sebegini amat penting didalam Islam dan Islam telah menggariskan panduan bagaimana untuk kita meraih dan mengekalkannya.

Cinta kerana Allah – maksudnya ialah kita mesti melakukan sesuatu perkara itu seperti menolong seseorang rakan hanya ikhlas kerana Allah dan untuk mendapatkan keredhaanNya walaupun ianya melanggar kehendak kita sendiri. Sabda Rasullullah SAW: “Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain keduanya, orang yang mencintai seseorang hanya kerana Allah dan orang yang tidak suka kembali kepada kekufuran , sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka”.  [HR Ahmad]

Pemurah dan Budiman – Islam menggalakkan kita bermurah hati antara satu sama lain. Bermurah hati boleh jadi dari segi harta, barang-barang materi ataupun masa, ilmu, nasihat dan senyuman. Ini akan merapatkan lagi hubungan di antara satu sama lain. Malangnya, adalah sesuatu yang sukar bagi umat Islam yang terlalu terpengaruh dengan cara hidup Barat untuk memahami konsep ini. Mereka amat terpengaruh dengan konsep ala barat yang mementingkan diri sendiri(individualistik) dan tidak bertanggung-jawab terhadap orang lain.  Pemberian tanpa mengharapkan balasan ataupun manfaat, walaupun dikalangan sahabat sendiri adalah satu konsep yang amat asing di dalam pemahaman Barat.  Namun Islam menggalakkan kita untuk memberikan harta, tenaga atau masa kita tanpa mengharapkan apa-apa sekali pun selain daripada keredhaan dan kasih-sayang Allah. Dari Abi Hamzah Anas bin Malik Radhiallahu anhu dari Nabi SAW sabdanya: "Tidak beriman salah seorang di antara kalian sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya."  [HR Bukhari dan Muslim]

Tidak ada komentar:

Posting Komentar